AMPANG - Pasangan suami isteri warga Filipina disyaki memiliki kad pengenalan MyKad palsu yang dibeli dengan harga RM250 ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Pandan Indah di sini, pada Selasa.
Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, serbuan hasil risikan selama dua minggu mendapati harga RM250 itu dibayar bagi mendapatkan sekeping MyKad palsu daripada seorang ejen sindiket di ibu negara dua tahun lalu.
Iklan
Iklan
Katanya, semakan mendapati pasangan itu berasal dari Basilan, Filipina dan dipercayai masuk ke Malaysia secara haram.
"Isteri berumur 40 tahun, manakala suaminya berumur 53 tahun.
"Kedua-dua suspek mengaku bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menggunakan MyKad palsu untuk mendapatkan kerja dan hendak bergerak bebas,” katanya pada Rabu.
Tambahnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang fasih berbahasa Melayu itu mempunyai seorang anak di Filipina.
Menurutnya lagi, tindakan diambil mengikut Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 bagi memastikan setiap pesalah yang melakukan kesalahan mendapat hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang negara.