SHAH ALAM - Sebanyak 2,132 projek pelaburan meliputi sektor pembuatan dan perkhidmatan telah diluluskan di Selangor bagi 2023 hingga Jun 2024 dengan nilai pelaburan berjumlah RM90.21 bilion, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Beliau berkata, untuk 2023, sebanyak 1,311 projek pelaburan telah diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM55.24 bilion, manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 melibatkan sebanyak 821 projek dengan nilai pelaburan RM34.97 bilion.
Iklan
Iklan
Katanya, sebanyak 63,912 peluang pekerjaan turut diwujudkan bagi tempoh sama di Selangor hasil perkembangan positif sektor ekonomi berkenaan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 20,241 potensi peluang pekerjaan adalah hasil kelulusan bagi projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan 43,671 daripada sektor perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Izuan Ahmad Kassim (PH-Kota Damansara) dan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) yang ingin tahu jumlah pelaburan di Selangor bagi 2023 hingga 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berjumlah RM50 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan pada tahun ini dengan pecahan masing-masing pada RM15 bilion dan RM35 bilion.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan negeri melalui Invest Selangor telah melaksanakan pelbagai langkah antaranya menganjurkan program promosi penggalak pelaburan, menggalakkan pembangunan kawasan industri baharu dan mengadakan mesyuarat penyelarasan projek secara berkala. - Bernama