SHAH ALAM - Lebih 800 warga kerja dikumpulkan dalam program Pengukuhan Integriti Penjawat Awam yang dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memupuk kesedaran mengenai nilai integriti dalam kalangan kakitangan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, inisiatif yang dibawakan MBSA itu perlu dipuji dan dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
"Integriti dalam penjawat awam adalah faktor utama kita nak meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 10 tahun yang akan datang nanti.
"Mereka ini adalah barisan hadapan yang berkhidmat antara komuniti dan institusi serta jambatan penghubung kepada MBSA.
"Seperti semua maklum kakitangan awam ini merupakan individu penting yang perlu menjalankan amanah dengan penuh dedikasi,” katanya ketika ditemui di program Sambutan Hari Integriti dan Hari Sumber Manusia di Dewan Bankuet, Wisma MBSA pada Rabu.
Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim, Ahli Majlis MBSA, Tengku Ahmad Tengku Kasim dan Pemangku Timbalan Datuk Bandar, Madiyan Baweh.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Pengurusan, Asmah Mohd Zin dan Timbalan Setiausaha Pembangunan MBSA, Aniza Osman.
Dalam pada itu, Nurhayati memaklumkan, program tersebut memfokuskan berkenaan nilai teras negara dan MBSA kepada penjawat awam terutamanya apabila melakukan tugasan.
"Nilai teras MBSA ada tujuh dan bermula dengan kejujuran atau bermaksud integriti. Penting untuk kita bangunkan penjawat awam yang mempunyai nilai etika tinggi kerana ia bermula dengan karakter diri sendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, nilai teras tersebut sangat penting kerana merupakan titik permulaan membina negara dan legasi yang baik untuk masa hadapan.
Berkenaan pengurusan risiko rasuah (CRM) pula, beliau berkata, ia boleh diuruskan dengan baik jika sesuatu organisasi melakukan kaedah pengurusan risiko budaya.
"Jadi kita beri kesedaran kepada warga MBSA untuk kenal pasti simptom rasuah sebelum perkara itu jadi lebih berat nak diuruskan oleh mereka.
"Saya mahu fokuskan juga, bertindak terhadap rasuah ini tidak boleh dilakukan seorang, kita kena ada sistem sokongan yang kuat dan dibuat secara berkelompok.
"Saya harap sebelum mahu lakukan sesuatu yang tidak elok berhenti seketika untuk fikir kesannya agar perkara tidak wajar dapat dielakkan,” katanya.