Khatijah Tan sokong artis carum KWSP

Iklan
Khatijah Tan.

AKTRES veteran, Khatijah Tan menyambut baik saranan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mahukan pekerja industri kreatif khususnya bidang perfileman mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ujarnya, sebagai orang lama dalam industri, perkara itu sudah lama diperjuangkan sebelum ini kerana penggiat seni sepertinya tidak berkesempatan berbuat demikian.

Iklan
Iklan

Katanya, pekerja industri termasuk penggiat seni yang masih muda perlu mengambil peluang itu sebagai satu jaminan pada masa depan.

"Sebelum ini kita dengar keluh-kesah anak seni dahulu yang tidak mempunyai simpanan pada hari tua, ada yang terpaksa harap bantuan daripada badan bukan kerajaan dan sebagainya.

Iklan

"Jadi bila kerajaan sudah beri kemudahan pada pekerja industri kreatif, maka gunakan kesempatan itu kerana mungkin sekarang kita masih mampu bekerja, tetapi nasib pada masa depan kita tidak tahu lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Khatijah mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Jangan Pandang Belakang 2, di The Starling Mall, Damansara pada Selasa.

Iklan

Tambah ibu kepada Pierre Andre dan Mikail Andre itu, industri perfileman sendiri sudah menjana pendapatan kepada negara melalui duti hiburan.

Maka sudah tiba pula giliran pekerja industri mendapat sedikit manfaat untuk kegunaan pada masa depan.

"Kalau saya nak carum pada usia sekarang mungkin tidak sesuai lagi. Jadi generasi muda yang ada, jangan ambil mudah kerana ini simpanan juga untuk hari tua kita.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya mendengar dan menjadikan KWSP untuk penggiat industri kreatif ini satu kenyataan," ujar bintang berusia 63 tahun itu.

Terdahulu, Fahmi menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 70,000 pekerja industri kreatif khususnya bidang perfileman mencarum dengan KWSP dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 3,925 penggiat seni telah mencarum dalam i-Saraan KWSP sejak 2010 melibatkan jumlah caruman sebanyak RM28.33 juta, RM1.48 juta Insentif Khas Kerajaan dan RM231.94 juta dalam bentuk simpanan KWSP.

Daripada jumlah pencarum berkenaan, sebanyak 44 peratus (1,709 individu) ialah lelaki dan 56 peratus wanita (2,216 individu).

"Kita akan menggerakkan jentera di bawah Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan penerbit supaya akan mencarumkan pekerja bagi projek-projek mereka supaya ada caruman dalam KWSP dan ini akan menjadi asas insya-ALLAH, kepada masa depan yang lebih baik untuk pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KWSP dengan FINAS di Menara KWSP Kwasa Damansara.