SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) didakwa mengetepikan fakta dan kedudukan terkini pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun memerintah negara.
Sehubungan itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan tindakan tersebut sebagai kenyataan yang gopoh dan dangkal.
"Reformasi dan agenda perubahan politik, ekonomi dan pentadbiran masih dan sedang berjalan. Reformasi bermaksud prestasi kerajaan mesti dinilai melalui indikator serta petunjuk ekonomi secara keseluruhan serta keyakinan pelabur yang bertambah baik dan melaju.
"Lantas, kejayaan-kejayaan ini tidak akan mampu terpacul tanpa urus tadbir dan asas baik yang telah dipasak kerajaan secara cermat dan bijaksana,” katanya menerusi satu hantaran di X pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil memberitahu bahawa beberapa keputusan besar tidak popular telah dilaksanakan seperti penyasaran subsidi diesel menjadi langkah wajar dan berani untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Jelas beliau, bantuan langsung kepada rakyat telah ditingkatkan selain pewujudan akta fiskal yang menuntut kerajaan berbelanja mengikut keupayaan dan tidak boros.
Kata Muhammad Kamil, ia sememangnya reformasi yang begitu mendesak dan diberi keutamaan.
"Hal-hal lain sedang direncana termasuk akta perolehan kerajaan bagi memastikan sistem hasil lebih telus dan berintegriti juga merupakan antara dasar reformasi yang kini masih dirangka.
"Perdana Menteri dan kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan serta kritikan yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu belajar dan timba daripada pengalaman lalu dan perubahan harus dilaksanakan dengan bijaksana, tidak gopoh serta mengikut keutamaan berdasarkan konteks keadaan semasa.