Ketirisan bukan alasan tarik subsidi

Iklan
Ketirisan tidak boleh dijadikan alasan untuk menarik balik subsidi minyak masak peket yang dinikmati rakyat sejak sekian lama. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Yusrizal)

ALOR SETAR - Ketirisan tidak boleh dijadikan alasan untuk menarik balik subsidi minyak masak peket yang dinikmati rakyat sejak sekian lama.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ketirisan berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa selain kelicikan pihak tertentu yang menyalahgunakan subsidi kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia tidak sewajarnya melibatkan hak pengguna dengan memansuhkan subsidi tersebut.

"Rakyat sudah banyak kali dengar alasan kerajaan apabila ketirisan subsidi berlaku, akan ditarik balik subsidi, seperti mana diesel sebelum ini.

Iklan

"RON 95 pun dikatakan akan dilakukan pelarasan subsidi disebabkan oleh ketirisan. Cake harap pihak berkuasa lebih giat main peranan dalam menangani isu ketirisan.

"Jalankan pemantauan terhadap aset kerajaan ini, subsidi merupakan aset kerajaan selain hak rakyat,” katanya di sini pada Rabu.

Iklan

Mohamad Yusrizal berkata, penguat kuasa perlu memperhebatkan lagi penguatkuasaan khususnya di pintu sempadan negara dan kedai-kedai runcit serta kalangan pemborong.

"Jika subsidi ditarik balik disebabkan ketirisan, ia tidak praktikal kerana masih ramai pengguna yang gunakan minyak masak peket. Ini adalah salah satu kebaikan daripada kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, subsidi merupakan hak rakyat dan wajar dikekalkan, sebaliknya kerajaan perlu mencari pendekatan baharu dalam menangani ketirisan minyak masak peket ini.

"Subsidi perlu dikekalkan sebab minyak masak peket ini antara keperluan pengguna. Ada pengguna tak beli minyak masak dalam botol khususnya di kampung atau golongan miskin kerana harganya lebih mahal.

"Kerajaan perlu pastikan keberadaan minyak masak peket di pasaran supaya rakyat boleh membeli,” ujarnya.

Mohamad Yusrizal berkata, pengawalan pembelian oleh warga asing juga perlu diberikan perhatian kerana ia turut menggunakan subsidi kerajaan tersebut.

"Tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi menyebabkan hak rakyat ‘diratah’ oleh golongan tersebut.

"Ia juga membuka ruang kepada warga asing melakukan penyeludupan. Warga asing ini bukan sahaja Bangladesh, Rohingya atau Myanmar, orang Thailand dan Singapura pun warga asing, mereka bawa balik minyak peket itu ke negara asal, itu juga penyeludupan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penjualan di kedai runcit juga wajar dipantau bagi mengenal pasti kedai terlibat yang bersubahat membekalkan minyak masak peket kepada pihak tertentu.

"Diharap penguat kuasa pantau, mereka jual kepada siapa? Jual dalam kuantiti banyakkah sebab undang-undang mengehadkan dua peket minyak masak untuk seorang. Pantaulah supaya semua orang dapat nikmati subsidi ini.

"Kalau subsidi ditarik, apa lagi yang rakyat ada? Sepatutnya bukan tarik subsidi tetapi tambah lagi.

"Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah kata, kalau tak cukup subsidi tambah lagi supaya rakyat boleh menikmatinya, sudah tentu beliau ada asas kukuh bila buat kenyataan seperti itu,” katanya.

Mohamad Yusrizal turut melahirkan kebimbangan sekiranya penarikan subsidi tersebut menyebabkan harga minyak masak peket melambung selepas diapungkan.

Pada Ahad, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cadangan memansuhkan subsidi minyak masak peket dibincangkan di peringkat kerajaan bagi mengelak ketirisan.

Terdapat risiko dalam pelaksanaan memansuhkan subsidi itu dan pada masa sama kerajaan menanggung puluhan juta ringgit untuk menyediakan subsidi terbabit.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan disaran memansuhkan minyak masak peket subsidi dan digantikan dengan bantuan kewangan kepada golongan sasar bagi menangani penyelewengan serta ketirisan.

Penasihat Undang-undang Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh berkata, cadangan memansuhkan subsidi itu wajar kerana ketirisan terus berlaku dengan modus operandi berbeza.

Berdasarkan laporan, daripada kuota 60,000 tan atau bersamaan 60 juta peket minyak masak bersubsidi satu kilogram sebulan di pasaran, 60 peratus digunakan kumpulan peniaga mikro.