Penasihat pemasaran rumah urut didakwa beri rasuah RM3,000 kepada penguat kuasa

Iklan
Ting Meng Lung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu, atas tuduhan memberi rasuah RM3,000 kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), awal tahun ini.

JOHOR BAHRU - Seorang penasihat pemasaran sebuah rumah urut di daerah ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan memberi rasuah RM3,000 kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Februari lalu.

Tertuduh, Ting Meng Lung, 38, mengaku membuat pengakuan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 kepada Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 MBIP sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah urut itu di Jalan Pendekar 13, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini pukul 3 petang, 1 Februari lalu.

Iklan

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari SPRM, Rais Adha Ramli tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun peguam tertuduh, Iskandar Shah memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin dengan jumlah yang rendah iaitu RM5,000.

Iklan

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor Bahru.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Disember depan bagi serahan dokumen.