SUNGAI BULOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami kecederaan parah di Jalan Stesen Kuang, di sini meninggal dunia pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa yang terjatuh sendiri setelah kain kaki seluarnya tersangkut di rantai basikal pada Jumaat telah menghembuskan nafas terakhir jam 10 pagi.
Beliau berkata, pihak polis menerima laporan kematian kanak-kanak perempuan itu daripada keluarga jam 2.11 petang.
"Pihak hospital mengesahkan kematian mangsa jam 10 pagi ini (Rabu).
"Sehubungan itu, kes ini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan mangsa mengalami cedera parah setelah terjatuh basikal kerana kain kaki seluar tersangkut di rantai basikal.
Polis mengesahkan mangsa tidak dilanggar oleh kenderaan lain, selain basikal mangsa juga telah diperiksa dan tiada kesan pelanggaran dengan kenderaan asing.
Sehingga semalam, pihak polis dimaklumkan bahawa mangsa ditidurkan dan masih belum sedar.