KUALA LUMPUR - Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan mengambil tindakan tegas ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira pangkat dan jawatan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kepimpinan PDRM wajib mengambil tindakan terhadap pegawai serta anggota yang terlibat dalam aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"Jangan ada amalan dwi standard (double standard) dalam mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku," katanya dalam ucapan yang disiarkan di Facebook rasmi PDRM di Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah PDRM sempena Hari Integriti, di Bukit Aman di sini pada Rabu.
Ayob Khan berkata, kepimpinan PDRM di semua peringkat wajib menunjukkan contoh, teladan yang baik bukan sekadar retorik.
"Pegawai, anggota bawahan serta masyarakat dan orang awam turut memerhati dan menilai kita," katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah membuka sebanyak 1,597 kertas siasatan tatatertib sejak Januari hingga September lalu.
"Selain itu 1,118 kertas inkuiri tatatertib dikeluarkan terhadap anggota dan pegawai yang disyaki melanggar peraturan," katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh sama juga seramai 27 pegawai dan anggota didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan di mana 13 individu telah disabitkan kesalahan.
"Seramai 45 pegawai dan anggota PDRM ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini," ujarnya.
Ayob Khan berkata, PDRM menyokong dasar dan polisi kerajaan dalam meningkatkan amalan integriti dan tatakelola.
"Ia baik untuk warga Sang Saka Biru bagi memastikan penyampaian perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat," katanya.
Menurutnya, PDRM komited dalam usaha membudayakan integriti dan tatakelola di setiap peringkat kepimpinan.
"Usaha memerangi rasuah seharusnya menjadi amalan dan gaya hidup seharian, ia tidak tertakluk kepada sambutan bermusim," ujarnya.
Pada majlis sama, seramai 51 anggota dan pegawai polis menerima sijil penghargaan tolak rasuah oleh PDRM dan SPRM kerana mempamerkan integriti tinggi menolak pemberian rasuah.