KUALA SELANGOR - Polis giat mengesan sekumpulan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang tular di sebuah kedai makan di Taman Rhu, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pemilik premis jam 3.52 petang, 10 November lalu.
Menurut beliau, seramai 10 lelaki disyaki telah membuat bising dan bergaduh dalam kedai berkenaan.
"Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila salah seorang tiba-tiba bangun dan pergi ke meja pelanggan lain sebelum bertindak menampar seorang lelaki hingga berlaku pergelutan selain turut menterbalikkan meja dalam kedai itu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Bagaimanapun, Azaharudin memberitahu, pergaduhan itu akhirnya dileraikan pemilik premis yang meminta mereka supaya beredar keluar.
Sehubungan itu, katanya, polis masih mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 160 dan 427 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi tiga minit memaparkan suasana tenang bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki bergaduh di dalam kedai berkenaan.