KUALA NERANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan belum menerima Surat Tuntutan (LOD) daripada DSAT Group Sdn Bhd berhubung kenyataannya tentang isu pengambilalihan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pada 7 November lepas.
Beliau memaklumkan, saman dikemukakan syarikat terbabit kepada dirinya akan menjadi sejarah sekiranya ia benar-benar berjumlah RM1 bilion.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan, kenyataan dibuat tentang pihak yang mahu mengambil alih kelab bola sepak terbabit adalah bersifat umum,sekali gus tidak ditujukan kepada syarikat atau individu tertentu.
"Saya kata apa dekat dia, saya pun tidak tahu. Saya tidak sebut nama dia, tidak sebut nama syarikat dia, saya pun tidak sebut siapa-siapa.
"Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu). Siapa makan cili dia rasa pedas. Takut dia tokak (gigit) cabai. Saya pun tak tahu dia tokak ke tidak,"katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Lot Desa Sejahtera Daerah Padang Terap di Kampung Perik,mukim Kurong Hitam, di sini,pada Rabu.
Jelasnya, beliau membuat kenyataan itu memandangkan terdapat banyak usaha daripada pelbagai pihak mahu mengambil alih KDA FC namun semuanya sekadar penipuan sahaja.
"Sebelum-sebelum ini,sudah ada banyak cubaan usaha-usaha nak mengambil alih tapi scam, kita harap pengalaman itu tidak berulang.
"Itu saya komen. Ia komen adil daripada seorang Menteri Besar. Janganlah scam. Itu saja," katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau enggan mengulas lebih lanjut tentang perkara terbabit.
Pada Isnin,Sinar Harian melaporkan Kumpulan DSAT memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor sebanyak RM1 bilion.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Azizul Tandek melalui hantaran di Facebook miliknya pada Isnin menjelaskan tindakan itu diambil susulan kenyataan Sanusi pada 7 November lalu ketika sidang media di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
Pada 7 November lepas, Muhammad Sanusi berkata, beliau mengharapkan syarikat yang berminat untuk mengambil alih pasukan KDA FC agar benar-benar mempunyai kemampuan untuk menguruskannya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu berkata, walaupun urusan pemilikan kelab itu tidak bersangkutan dengan kerajaan negeri, namun beliau tetap memberi pesanan agar tidak berlaku sebarang penipuan dalam perkara itu.
"Kalau ada kemampuan, silakan. Kita harap dan berdoa dia adalah kemampuan, jangan 'scam' lah, belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah.
"Macam scammer tak bagus lah. Dia tak ada sangkut paut dengan kita (kerajaan negeri) dia tak berurusan dengan kita dan dia tak perlu kebenaran saya atau Exco Sukan... perlu jumpa pihak peguam KDA,” katanya.