KUALA LUMPUR - Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil langkah sesuai berikutan serangan genosid atau penghapusan kaum terus dilakukan terhadap etnik Rohingya.
Presiden Merhrom, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, ini sebagai respon terhadap kejadian 15 etnik Rohingya termasuk empat kanak-kanak mati lemas selepas bot mereka yang dalam perjalanan ke Malaysia karam di selatan pantai Bangladesh pada Isnin.
Iklan
Iklan
"Walaupun 70 orang diselamatkan, hampir 100 orang masing hilang dan dikhuatiri mati lemas. Kami berasa amat sedih atas hakikat tragedi ini berlaku 19 hari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenakan Langkah-Langkah Sementara terhadap Kerajaan Myanmar untuk menghalang genosid,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Merhrom turut menggesa PBB menghantar Pasukan Misi Pengaman ke Negeri Arakan berikutan kegagalan kerajaan Myanmar mematuhi Langkah-Langkah Sementara ICJ, dan untuk mengambil langkah darurat spesifik untuk membanteras penyeludupan manusia dan mendakwa penyeludup.
Selain itu, PBB perlu memantau serangan genosid terhadap etnik Rohingya dengan kejadian terbaru di bandar Buthidaung dan Rathedaung pada 3 Februari sementara menunggu kerajaan Myanmar menyediakan laporannya kepada ICJ, dan meningkatkan kuota penempatan semula bagi Rohingya yang terpaksa melarikan diri terutama di kem pelarian Cox’s Bazar.
Merhrom juga mahu kerajaan Myanmar berhenti daripada mengeluarkan pelarian, membebankan negara jiran dan masyarakat global dengan menghentikan genosid Rohingya dan mengembalikan kewarganegaraan mereka atau jika tidak, etnik Rohingya akan terus mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran. - Bernama
Artikel Berkaitan