IPOH - Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menuju ke Cameron Highlands di sini yang ditutup akibat kegagalan cerun dijangka dibuka semula pada 25 November ini untuk tempoh masa terhad.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimana pun pembukaan laluan tersebut masih tertakluk kepada tahap risiko keselamatan di lokasi kegagalan cerun terbabit.
Menurutnya, masa pembukaan laluan yang dicadangkan dari jam 7 malam hingga 7 pagi manakala tempoh lain tidak dibenarkan bagi memberi laluan kerja-kerja pembaikan.
"Saya difahamkan jalan ini merupakan laluan utama untuk pengusaha sayur menghantar hasil mereka. Jadi saya mohon kerjasama daripada mereka juga agar bersabar sebab kerja-kerja ini harus dibuat dengan sebaik mungkin.
"Kita faham sayur itu penting sebagai makanan atau kerja harian itu juga penting, tapi yang lebih penting adalah nyawa. Kalau jalan tidak selamat, ia akan melibatkan nyawa. Itu yang penting bagi kami di kementerian dan juga di JKR (Jabatan Kerja Raya)," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Jalan Persekutuan FT185, Seksyen 42.7, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini pada Rabu.
Nanta dalam lawatannya itu turut berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilakukan ketika ini melibatkan pembersihan tanah, pemasangan plastik kanvas serta pemasangan gabion dengan perbelanjaan RM500,000.
Menurutnya, keseluruhan kerja di dalam skop kerja kecemasan itu dijangka disempurnakan pada hujung Disember ini.
Dalam pada itu, Nanta menjelaskan pihaknya akan melaksana kerja-kerja pembaikan kekal yang dianggarkan bernilai RM20 juta.
Menurutnya, Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR mengesyorkan kerja pembaikan kekal dilaksana segera menggunakan kaedah kerja sama ada soil nailing dan gunite atau lope reprofile, soil nailing dan hydroseeding atau rockshed.
"Kami pun sudah berbincang memang kita mahu menyegerakan kerja ini. Kita guna dulu duit kewangan dalaman kementerian yang sedia ada. Nantilah baru kita tuntut balik daripada kementerian lain. Maknanya kerja-kerja kekal ini sudah bermula juga.
"Pelaksanaannya mestilah melalui langkah-langkah tertentulah secara berperingkat. Kita tidak mahu terlalu tergesa-gesa kerana bimbang kualiti tidak seberapa," katanya.
Pada 23 Oktober lalu, JKR Daerah Kinta menerima laporan kejadian tanah runtuh di laluan berkenaan dengan anggaran ketinggian runtuhan cerun 70 meter dan lebar sepanjang 100 meter.
Pelan Pengurusan Trafik di lokasi kejadian telah dilaksanakan serta-merta dengan penutupan satu lorong dengan kawalan serta pemantauan 24 jam dari pihak konsesi.
Bagaimana pun sepanjang tempoh pemantauan terdapat runtuhan cerun yang masih aktif dan susulan itu penutupan jalan di kedua-dua lorong dilaksanakan sepenuhnya berkuat kuasa 25 Oktober lalu bagi mengelak risiko kemalangan.
Disebabkan itu, jalan alternatif yang dicadangkan melalui laluan FT059, Jalan Tapah-Cameron Highlands.