Bekas tapak kuari jadi kampung tersusun pertama di Kedah

Iklan
Sanusi (dua dari kiri) merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Lot Desa Sejahtera di Kampung Perik pada Rabu.

KUALA NERANG - Sebuah bekas tapak kuari di Kampung Perik, mukim Kurong Hitam di sini, akan dibangunkan menjadi kampung tersusun pertama di Kedah dikenali Desa Sejahtera.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lot tanah berkeluasan kira-kira 3,600 kaki per segi ditawarkan untuk projek perintis ini.

Iklan
Iklan

Beliau memaklumkan, inisiatif Program Kampung Tersusun Desa Sejahtera diperkenalkan bagi memberi lot tapak rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar berkeluarga yang tidak mempunyai tanah atau rumah.

"Tapak ini tapak kuari asalnya dan kita ubah tapak kuari menjadi lot-lot kediaman. Di daerah lain pun, pegawai-pegawai daerah sudah mengesan tempat (bersesuaian).

Iklan

"Selepas ini, kita akan proses (tapak) itu seperti mana kita proses tapak ini juga. Idea ini boleh dikembangkan lagi dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Lot Desa Sejahtera di Kampung Perik di sini pada Rabu.

Beliau melahirkan keyakinan usaha Kedah akan mendapat sokongan ramai sekali gus memberi cadangan penambahbaikan dan mempermudahkan urusan kerajaan negeri membantu orang miskin.

Iklan

Sanusi menambah, banyak agensi yang menawarkan kemudahan untuk membina rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar.

"Namun, dia (agensi) mahu geran tanah (dan) apabila tidak ada geran tanah (maka) tidak layak mohon. Jadi, kita sediakan tanah (untuk projek) ini bergeran," katanya.

Menurut beliau, keluasan lot tanah di Desa Sejahtera terbabit diyakini selesa untuk didirikan rumah dengan sedikit halaman untuk bercucuk tanam dan sebagainya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri juga bertindak sebagai fasilitator bagi memudahkan penerima lot tanah berurusan dengan agensi berkaitan selain memberi tanah.

Kongsinya lagi, terdapat syarat tertentu akan dikenakan kepada penerima lot tanah bagi mengikatnya daripada mengambil keuntungan mudah melalui pemberian lot tanah sekali gus mengelakkan mereka daripada menjual tanah itu.

"Dia tidak boleh jual (dan) akan ada kriteria kelayakan memohon (dan) kita serah untuk laksanakannya kepada pegawai daerah," katanya.