RANTAU PANJANG - Penduduk di sini merayu kepada pihak berkuasa dan kerajaan meneliti semula tindakan untuk menahan individu yang menyeberang Sungai Golok mulai 1 Disember ini.
Mereka mendakwa hubungan rakyat Kelantan-Selatan Thailand diibaratkan seperti adik-beradik, kerana tali persaudaraan yang terjalin sejak zaman-berzaman.
Seorang penduduk, Mohd Azwadi Mohd Noor, 44, berharap mereka diberi peluang untuk berdialog dengan pihak berkuasa.
"Kami menggunakan pangkalan di Sungai Golok sudah terlalu lama. Keputusan ini sangat mengejutkan, kalau boleh datanglah berbincang dengan kami, berkongsi idea,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Bagi Ishak Ghazali, 63, dia mengahwini rakyat Thailand dan mempunyai tujuh orang anak serta sembilan cucu di mana mereka semua tinggal di Golok tetapi bersekolah di Rantau Panjang.
Ujarnya, pangkalan haram merupakan laluan utama bukan kerana suka-suka melanggar peraturan tetapi ia jalan mudah serta jimat berbanding melalui pintu masuk ICQS.
"Saya berharap pihak kerajaan dapat turun padang dan mendengar keluhan kami ini. Kerana kami bukan melakukan jenayah tetapi berulang-alik untuk erat silaturahim keluarga.
"Kami akur jika kawalan diketatkan atau sebagainya, asalkan jangan tutup pangkalan di sini,” katanya.
Anak jati Rantau Panjang, Amran Abdul Rahman, 60, memberitahu, kerajaan boleh menguatkuasakan beberapa langkah tertentu seperti meletakkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di setiap pangkalan haram sebagaimana dilaksanakan oleh kerajaan Thailand.
Dia turut mencadangkan supaya aktiviti keluar masuk rakyat Malaysia di Sungai Golok dicatat dan diambil rekod, manakala pada hujung minggu pihak berkuasa boleh memperketat kawalan atau memberikan jadual mengenai waktu sesuai untuk menyeberang guna pangkalan haram.
"Kalau sampai tahap menahan individu serta menutup pangkalan haram, rasanya perlu dipertimbangkan semula kerana ia sudah sebati dengan penduduk di sini,” katanya.