SEMALAM Merak Jalanan mengajak seorang rakan pergi merarau. Dia terpinga-pinga. Tak faham.
Kemudian Merak Jalanan kata lagi, selepas merarau kita boleh cicipan kopi panas dengan roti kaya. Bertambah bingung rakan Merak Jalanan itu.
Merak Jalanan pun terangkan. Merarau itu maksudnya makan tengah hari, cicipan pula bermaksud minum petang. Dia kata, macam tak pernah dengar. Merak Jalanan jawab, baru tahu juga ni...
Merak Jalanan mengakui, ini pertama kali mendengar istilah berkenaan.
Kedengaran memang agak pelik, tapi kita kena biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.
Ia bukan istilah baharu atau menggantikan ungkapan yang sedia ada, sebaliknya dialek bahasa sukuan yang dijadikan sebagai perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Setiap kali istilah baharu bahasa Melayu diperkenalkan, jangan pula ia dijadikan sebagai bahan lawak. Ini kerana ada yang mempersenda istilah-istilah itu di media sosial.
Tetapi ada juga yang mula mempraktikkannya dalam perbualan harian bagi menggantikan perkataan yang biasa digunakan sebelum ini.
Sebelum ini, satu Malaysia teruja dengan istilah-istilah yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Paling popular tentulah perkataan ketimbang.
Ada lebih sepuluh istilah lain iaitu tatakelola, mahsul, purba sangka, tiwikrama, maha kaya, senjang, tatanan dan sebagainya.
Selepas ini jangan terkejut bila ada rakan yang mengajak, 'Jom kita gabi'. Jangan salah sangka pula atau mengaitkan dengan haiwan yang satu itu.
Mungkin kita sudah biasa dengan istilah supper. Jadi selepas ini, kita guna gabi menggantikan supper.
Kita kena berlatih menggunakannya seperti mana kita sudah biasa guna istilah tular, swafoto dan sebagainya.
Bak kata seorang rakan, practice makes perfect!