SHAH ALAM - Tindakan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menggugurkan Malaysia daripada senarai pemantauan memberi kelebihan kepada negara untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dan berdaya maju pada masa hadapan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, situasi itu memberi gambaran bahawa negara melakukan dasar fiskal dan monetari bagi mengukuhkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diterima baik kerajaan AS.
Menurutnya, dengan perancangan dan dasar dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) memungkinkan ekonomi negara terus berada di landasan positif bagi berhadapan situasi ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu dan mencabar.
"Selain itu, tindakan ini membuka peluang pelaburan seluas-luasnya kepada pelabur besar di seluruh dunia untuk melabur dan menjalinkan kerjasama ekonomi mampan dengan syarikat tempatan di negara ini.
"Ini secara tidak langsung menonjolkan keyakinan pelabur kepada Malaysia semakin tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia digugurkan daripada senarai pemantauan Jabatan Perbendaharaan AS bagi rakan dagang utama dengan amalan mata wang dan dasar makroekonomi yang memerlukan perhatian rapi negara berkenaan.
Menurut Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Perbendaharaan AS dalam laporan bertajuk 'Report to Congress - Macroeconomics and Foreign Exchange Policies of Major Trading Partners of the United States' bagi November 2024, Malaysia memenuhi satu kriteria dalam laporan terakhir (pada Jun) dan laporan bagi November.
Mengulas lanjut, Mohd Faisol memaklumkan keadaan itu mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan andaian sektor eksport akan terus meningkat dengan permintaan tinggi oleh AS yang merupakan rakan dagangan utama Malaysia.
Beliau berkata, negara perlu mengambil peluang untuk terus mengukuhkan ekonomi dengan meningkatkan peluang pelaburan baharu dan berimpak tinggi.
"Peluang ini juga perlu digunakan untuk mengukuhkan ringgit berbanding mata wang utama dunia dengan berasaskan ekonomi sebenar supaya jika sesuatu perubahan dasar ekonomi AS berlaku pada masa hadapan, negara sudah bersedia dengan perancangan strategik.
"Selain itu juga, ia turut memberi dorongan kepada negara terus meningkatkan nilai dagangan dan peluang baharu dengan negara lain khususnya di Asia Barat,” katanya.