ALOR SETAR -"Menteri Besar Kedah boleh bermain dengan drama, tapi tidak dengan kifarahnya,” kata Pengerusi Eksekutif DSAT Group Sdn Bhd, Datuk Seri Azizul Tandek pada malam Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menjelaskan kenyataan yang dibuat pada 7 November lalu semasa sidang media di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) adalah bersifat umum.
Menurut Azizul, bagi DSAT Group, mereka yakin dapat membuktikan di mahkamah bahawa kenyataan tersebut memang ditujukan kepada mereka.
"Di mahkamah nanti, DSAT akan meminta pihak defendan untuk mengemukakan dan mendedahkan semua nama syarikat yang pernah terlibat dalam penipuan seperti yang dinyatakan oleh MB Kedah.
"Ini akan membantu membersihkan nama baik DSAT Group di mahkamah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya.
Tambah beliau, walau apa pun, DSAT Group tetap akan menyaman MB Kedah sebanyak RM1 bilion.
Menurutnya, DSAT telah mengarahkan barisan peguam mereka untuk menyerahkan Surat Tuntutan (LOD) secara serahan tangan kepada MB Kedah pada Khamis.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi belum menerima LOD daripada DSAT Group berhubung kenyataannya tentang isu pengambilalihan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 7 November lepas.
Beliau memaklumkan, saman dikemukakan syarikat terbabit kepada dirinya akan menjadi sejarah sekiranya ia benar-benar berjumlah RM1 bilion.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan, kenyataan dibuat tentang pihak yang mahu mengambil alih kelab bola sepak terbabit adalah bersifat umum, sekali gus tidak ditujukan kepada syarikat atau individu tertentu.