SHAH ALAM - Nekad temani anak, seorang ibu sanggup menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kewangan Perniagaan bersama-sama.
Pekerja swasta, Siti Nur Fatihah Mohd Zamri, 27, berkata, ibunya membuat keputusan itu apabila dia menyuarakan tidak mempunyai rakan bagi menyambung pelajaran.
"Saya habis Tingkatan Enam terus bekerja. Ibu sudah lama pujuk untuk sambung belajar, tapi saya asyik tolak sebab sudah bekerja pada usia 19 tahun, malas dan lebih selesa cari duit pada umur yang masih muda.
"Lama ibu pujuk, masa tahun 2019 tu saya beritahu ibu. Saya tak nak sambung belajar sebab tak ada kawan dan takut cepat bosan belajar seorang.
"Ibu pun cakap, tak apalah, ibu sambung belajar jadi kita sama-sama belajar, tak adalah bosan. Jadi, semua bermula daripada itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Fatihah, dia dan ibunya yang juga penjawat awam, Sirawati Rahimin, 46, menyambung pelajaran tersebut secara separuh masa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini.
Ujarnya, rakan sekelas pada mulanya terkejut apabila mengetahui status mereka berdua adalah ibu dan anak.
"Mereka terkejut kerana tidak pernah jumpa mak dan anak pergi kelas sama-sama.
"Kami bukan hanya satu kelas, duduk pun sebelah menyebelah. Alhamdulillah untuk nikmat ini," katanya.