Untung bersih Wasiyyah melonjak 92 peratus

Iklan
Ariffin Sabirin

KUALA LUMPUR - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh Syariah terbesar di Malaysia berkepakaran di dalam penyediaan dan pelaksanaan dokumen hibah, wasiat, pengurusan harta pusaka dan pengurusan harta amanah, hari ini mengumumkan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2023/24 berakhir 31 Jun lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin, syarikat telah mencatat prestasi kewangan sangat memberangsangkan bagi tahun kewangan berkenaan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi semasa.

Iklan
Iklan

Pendapatan syarikat telah melonjak 32 peratus daripada RM22,972,364 pada tahun kewangan 2022/23 kepada RM30,501,485 bagi tahun kewangan 2023/24.

Namun katanya, paling memberangsangkan ialah lonjakan keuntungan bersih syarikat yang meningkat daripada RM1,585,438 pada tahun kewangan lepas kepada RM3,051,270 pada tahun kewangan 2023/24 iaitu lonjakan sebanyak 92 peratus.

Iklan

Ariffin mengulas bahawa faktor utama yang membawa kepada kejayaan mencapai tahap keuntungan membanggakan ini ialah semangat kerja berpasukan yang mantap di kalangan Lembaga Pengarah, Panel Syariah, kakitangan dan daie Wasiyyah Shoppe Berhad di samping strategi digitalisasinya.

"Di samping komitmen terbaik yang dipaparkan semua pihak tersebut, strategi kami melabur di dalam usaha digitalisasi sepanjang tahun kewangan 2022/23 terutamanya pengenalan aplikasi mudah alih akad hibah tanpa kertas pertama di dunia, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD), sangat menyumbang kepada peningkatan keuntungan bersih syarikat.

Iklan

"Urusan akad hibah pelanggan dapat dibuat dengan pantas dan tepat tanpa sebarang kekangan menyebabkan permintaan meningkat dan keuntungan bersih melonjak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Walaupun telah berjaya mencatat kejayaan bagi tahun kewangan lepas, Ariffin menegaskan Wasiyyah Shoppe akan terus mengutamakan pelaburan strategik di dalam segmen pasaran bernilai tinggi dan perbelanjaan pengurusan berhemah bagi memastikan syarikat akan terus berada pada asas kewangan yang kukuh.

Selain daripada strategi tersebut, katanya, strategi pengantarabangsaan dan inovasi berterusan teknologi digitalnya diyakini akan terus memacu pengukuhan kewangan syarikat bagi tahun kewangan mendatang.

"Kami faham sebagai sebuah syarikat amanah yang memegang amanah daripada pelanggan bagi urusan harta dan pusaka mereka, keutamaan kami bukanlah semata-mata untuk mencapai sasaran keuntungan pemegang saham malah lebih besar daripada itu, kami perlu memastikan apa sahaja strategi yang dilaksanakan mestilah mencapai keseimbangan yang mampu menjaga kepentingan semua pemegang taruh terutamanya pelanggan.

"Setakat tahun kewangan 2023/24 ini, Alhamdulillah keseimbangan ini dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata, asas pendapatan dan keuntungan bersih yang kukuh ini meletakkan Wasiyyah Shoppe di atas landasan yang betul di dalam usahanya meletakkan diri sebagai pemain global di dalam industri perancangan harta secara syariah dan seterusnya meningkatkan nama Malaysia sebagai hub dunia industri berkenaan.