RMHC sambut ulang tahun ke-50

Iklan
Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), Datuk Azmir Jaafar (tengah) dan Nasri (empat dari kiri) bergambar bersama penaja pada Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Ronald McDonald House Charities (RMHC) yang diadakan baru-baru ini.
KUALA LUMPUR-Rumah Ronald McDonald kelima di negara ini dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada tahun 2026 dengan menawarkan tempat penginapan kepada keluarga yang memerlukan sepanjang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.

Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), Nasri Nordin berkata, menerusi rancangan pengembangan di Malaysia Timur, rumah tersebut akan menyediakan sokongan yang boleh diakses ahli keluarga yang berhadapan cabaran perjalanan signifi kan untuk mendapatkan khidmat perubatan.

"Kita sudah mempunyai empat rumah iaitu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (Cheras), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kelantan, Hospital Tunku Azizah (Kuala Lumpur) serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, yang menyediakan keselesaan kepada lebih daripada 1,000 keluarga setiap tahun.

"Sepanjang lima tahun, penubuhan rumah kebajikan ini amat memberangsangkan dan di Sarawak, dijangka buka pada 2026 di Kuching,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun RMHC ke-50 secara Global dan ke-34 di Malaysia, baru-baru ini.

NASRI
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga telah melaksanakan inisiatif Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) di lebih 35 lokasi seluruh negara dengan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada kanakkanak berkeperluan khas.

Menurutnya, inisiatif berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 4,500 kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan pembelajaran, autisme dan golongan orang kurang upaya (OKU).

"Insya-ALLAH bilik terapi yang ketiga di Sarawak mendapat kerjasama Unit Pediatrik Hospital Umum Sarawak masih dalam pembangunan dan dijangka beroperasi sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.

"Kita akan terus kembangkan sayap di timur tanah air untuk sama-sama memenuhi keperluan masyarakat dan tahun 2026, fokus terarah kepada negeri Sarawak,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, RMSR direka khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas dan ketidakupayaan pembelajaran untuk membina kemahiran kognitif dan keyakinan diri.

Menurutnya, bilik tersebut dilengkapi dengan peralatan kepelbagaian sensori yang direka untuk membantu perkembangan membabitkan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan dan bau.

RM60 juta kepada lebih 250,000 kanak-kanak

Sebagai rekod, RMHC Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM60 juta kepada lebih 250,000 kanak-kanak di seluruh negara, sekali gus membawa impak dalam kehidupan mereka menerusi teras kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), Datuk Azmir Jaafar (enam dari kanan), Setiausaha Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), Melati Abdul Hai (lima dari kiri), Pengarah Bersekutu RMHC Global, (Operasi Untuk Asia), Rachel Goh (tiga dari kiri) dan Nasri (kiri) bergambar bersama Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Hulu Kelang.


Nasri menjelaskan, jumlah tersebut merupakan antara sumbangan dari rakan kongsi korporat yang bersamasama menyokong usaha murni pihaknya dalam menyediakan keperluan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, keprihatinan serta kerjasama yang diberi membolehkan pihaknya memperluas jangkauan dan mengekalkan program sedia ada supaya lebih ramai kanak-kanak berkeperluan khas mendapat manfaat.

"Kami amat menghargai komitmen mereka terhadap usaha RMHC Malaysia Terima kasih atas sumbangan dan sokongan yang diberikan.

"RMHC Malaysia akan terus membina asas sokongan, kesihatan dan kesejahteraan untuk generasi akan datang dan misi ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama daripada semua,” ujarnya.

Sejak penubuhannya pada 1990, RMHC Malaysia telah mencatat beberapa lagi pencapaian penting seperti Program Anugerah Senyuman (Gift of Smile) yang sudah membantu lebih 1,500 kanak-kanak yang dilahirkan dengan klef bibir dan lelangit.

Pameran pada Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Ronald McDonald House Charities (RMHC) yang diadakan baru-baru ini.


Program tersebut melibatkan pembiayaan rawatan pembetulan dan susulan dengan dengan kos sebanyak RM6 juta sejak 2004.

Selain itu Program Pek Kembali Ke Sekolah yang dilancarkan pada 2017, berjaya memanfaatkan hampir 200,000 kanak-kanak kurang bernasib baik untuk meningkatkan keyakinan mereka dalam pelajaran melalui sumbangan barangan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, alat tulis dan beg sekolah.