Sidang DUN Kelantan: Bayaran premium tertunggak lebih RM23 juta

Iklan
Persidangan kali ketiga Penggal Kedua DUN Kelantan pada Khamis.

KOTA BHARU - Lebih RM23 juta jumlah tunggakan bayaran premium dan lain-lain tidak dijelaskan oleh tiga agensi pembangunan tanah Persekutuan di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, agensi terlibat ialah Felcra Berhad dengan tunggakan berjumlah RM14.75 juta, Felda (RM 1.55 juta) dan Kesedar (RM 7.13 juta).

Iklan
Iklan

"Kerajaan Negeri mengambil langkah sepatutnya seperti mengeluarkan Notis 5A dan juga mengadakan rundingan dengan agensi-agensi terlibat.

"Mana-mana kelulusan yang tidak disertai dengan bayaran kepada Notis 5A maka kelulusan itu adalah luput,” kata beliau ketika menjawab soalan pada Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Wan Rohimi Wan Daud (Pas-Melor) berkait agensi pembangunan Persekutuan seperti Felda, Kesedar dan Felcra yang mengendalikan Rancangan Pembangunan Tanah Berkelompok di bawah Akta Tanah (Kawasan Petempatan Berkelompok) 1960 (Akta GSA) dalam negeri Kelantan dan keluasan tanah-tanah rancangan gagal dibayar premium oleh agensi-agensi tersebut serta rancangan kerajaan sama ada untuk mengambil semula tanah-tanah gagal mematuhi jadual pembayaran premium tersebut.

Mohd Nassuruddin berkata, bagi negeri Kelantan hanya Felda sahaja yang membangunkan tanah menggunakan Akta GSA manakala Felcra dan Kesedar tidak menggunakan Akta GSA.

Iklan

Kata beliau, tanah-tanah dalam kawasan GSA yang perlu dibayar premium oleh agensi berkaitan adalah terbahagi kepada dua kategori iaitu kawasan penempatan kediaman peneroka (Seksyen 6) dan kawasan yang digunakan oleh agensi untuk tujuan fasiliti pentadbiran kawasan ladang (Seksyen 5).

"Permohonan pemberi milikan yang masih gagal dijelaskan premium juga antaranya ialah Felda Chiku 6 dengan keluasan 859.88 hektar dan Chiku 1 berkeluasan 2309.94 hektar.

"Bagi tanah-tanah yang digunakan untuk tujuan fasiliti pentadbiran agensi sekiranya premium gagal dijelaskan kelulusan pemberi milikan itu akan luput,” ujarnya.