‘Lawatan Taliban platform Malaysia tegaskan prinsip inklusiviti'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Sangeetha

SHAH ALAM - Lawatan delegasi Taliban ke Malaysia sepatutnya diiktiraf sebagai peluang untuk menegaskan prinsip Malaysia mengenai inklusiviti, kesederhanaan dan diplomasi.

Naib Ketua, Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sangetha Jayakumar berkata, sebagai rakyat Malaysia, semua pihak perlu mengekalkan keterbukaan terhadap dialog dan komitmen negara untuk memupuk pemahaman dalam dunia yang semakin kompleks.

Iklan
Iklan

Katanya, kemajuan global memerlukan penglibatan dan bukannya suatu pengasingan.

"Penerimaan Malaysia terhadap lawatan delegasi Taliban khususnya dalam isu berkaitan pendidikan menawarkan ruang untuk mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada perubahan yang membina.

Iklan

"Daripada melihat lawatan ini sebagai langkah mundur, kita seharusnya mengiktirafnya sebagai peluang untuk menegaskan prinsip Malaysia tentang inklusiviti, kesederhanaan dan diplomasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini.

Iklan

Guan Eng berkata, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Taliban dan Taliban selaku pemerintah negara itu melaksanakan dasar menyekat wanita untuk belajar di peringkat menengah dan universiti.

Mengulas lanjut, Sangetha berkata, tindakan mengecualikan mana-mana kerajaan atau komuniti daripada dialog dalam keadaan dunia semakin saling berhubung berisiko mencetuskan pengasingan dan peneguhan semula.

Menurutnya, peranan Malaysia sebagai pembina jambatan dalam ASEAN dan arena global menggalakkan negara berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan.

"Ia perlu walaupun dasar atau tindakan pihak berkenaan mungkin tidak selari dengan pendirian Malaysia,” ujarnya.

Sangetha menegaskan, Malaysia mempunyai tradisi yang panjang dalam berinteraksi dengan negara-negara yang memiliki spektrum politik berbeza, termasuk autokrasi, negara komunis dan model tadbir urus yang berbeza.

"Interaksi ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai negara neutral dan inklusif yang terbuka untuk berdialog dengan semua pihak demi memupuk keamanan dan rasa hormat bersama.

"Taliban kini merupakan kerajaan de facto Afghanistan. Malaysia, sebagai anggota bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa, mematuhi norma diplomatik yang memudahkan hubungan kerajaan-ke-kerajaan (G2G),” katanya.

Beliau menambah, dengan menganjurkan perbincangan bersama wakil Afghanistan, Malaysia berpeluang berkongsi nilai-nilai kesederhanaan, inklusiviti, dan kemajuan dalam bidang seperti pendidikan dan kesetaraan gender.

Jelasnya, platform sebegitu boleh menyemai benih reformasi serta menunjukkan alternatif dalam menghormati kepelbagaian dan memperkasakan wanita sambil mengekalkan identiti budaya dan agama.