ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri menetapkan waktu rehat bagi sektor swasta pada hari Jumaat dilanjutkan kepada dua jam berbanding daripada 1 jam 30 minit sebelum ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketetapan itu dibuat bagi membolehkan umat Islam yang bekerja di sektor swasta di negeri ini dapat menunaikan solat Jumaat dengan selesa.
"Bagi memastikan kemuliaan hari Jumaat terus terpelihara dan umat Islam termasuk yang bekerja di sektor swasta dapat menunaikan kewajipan solat Jumaat dengan selesa.
"Kerajaan negeri ingin membuat ketetapan supaya waktu rehat bagi sektor swasta pada hari Jumaat dilanjutkan daripada 1 jam 30 minit kepada 2 jam," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Kota Iskandar, pada Khamis.
Onn Hafiz memberitahu, bilangan surau termasuk dewan yang berada di dalam kawasan sekolah juga akan ditambah.
"Bagi memastikan pelajar-pelajar lelaki yang beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Ia termasuk menambah bilangan surau termasuk surau atau dewan yang berada di dalam kawasan sekolah yang menepati kriteria untuk diberikan kebenaran melaksanakan solat Jumaat," katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Pertukaran cuti hujung minggu daripada Jumaat dan Sabtu ketika ini dibuat selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.
Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.