KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Selepas 15 tahun Teoh Beng Hock meninggal dunia, Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematiannya, dalam tempoh enam bulan.
Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak polis melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka, pada tahun 2009.
Ketika membaca keputusan, hakim ini berkata, mahkamah mendapati tuntutan yang diminta oleh ibu bapa mendiang selaku pemohon, merupakan dalam domain undang-undang awam.
Susulan itu beliau berkata, semakan kehakiman adalah kaedah permulaan yang betul mengikut keadaan.
Katanya, kegagalan daripada membuat siasatan oleh responden pertama hingga ketiga untuk menyelesaikan siasatan tanpa ‘penangguhan yang tidak perlu’ telah melanggar Seksyen 120(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
"Siasatan juga tidak dijalankan mengikut masa yang munasabah, maka saya membenarkan perintah ‘mandamus’ atau mendesak supaya responden pertama menyelesaikan siasatan kematian si mati, dalam tempoh enam bulan dari tarikh hari ini.
"Kepentingan keadilan menentukan bahawa, perlu ada titik penyudah dalam kes ini, perlu ada penutupan untuk segala-galanya.
"Pemohon, sebagai ibu bapa si mati, seperti mana-mana rakyat negara ini, berhak mendapat keadilan ini dan saya harap mereka mendapatnya hari ini," kata hakim itu.
Beng Hock yang ketika itu berusia 30 tahun, ditemukan mati pada 16 Julai 2009, di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Teoh Leong Hwee, 76, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 71, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Januari 2022, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.
Pada 21 Julai tahun sama, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Pada 16 Jun 2022 lepas, pasangan itu memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman.
Pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.