KUALA LUMPUR - Kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Anwar menjelaskan, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.
Malah beliau berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.
"Saya lihat kos perjalanan selalunya agak tinggi, jadi kali ini apa yang kita lakukan adalah dengan kerjasama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz).
"Kita jemput syarikat-syarikat terbabit umpamanya Petronas, Sapura Energy, Yinson, Proton dan syarikat semikonduktor, datang ikut dalam rombongan (negara). Mereka bayar tambang dan kos.
"Jadi maknanya kalau tak salah saya, sekitar 70, 80 peratus kos penerbangan ditanggung oleh syarikat yang ada kepentingan perniagaan dan pelaburan kerana kerajaan bantu syarikat ini sama ada import dan eksport," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Anwar mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga 19 November.
Lawatan selama 11 hari ke empat negara itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.
Dalam rangka lawatan itu, Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia antaranya ke Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.