SHAH ALAM - Selangor merekodkan nilai dagangan berjumlah RM639.2 bilion iaitu sebanyak 29.9 peratus kepada jumlah perdagangan negara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han memaklumkan, jumlah direkodkan itu meningkat sebanyak 13.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Jelasnya, bagi sumbangan kepada jumlah eksport negara pula, Selangor merekodkan sebanyak RM264 bilion dan menyumbang sebanyak 23.7 peratus.
"Negeri Selangor juga turut merekodkan sebanyak RM375.2 bilion iaitu 36.6 peratus kepada jumlah import negara," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Khamis.
Sze Han mengulas lanjut berkata, antara produk utama perdagangan Selangor adalah jentera dan kelengkapan peralatan berjumlah RM273.35 bilion (42.8 peratus) dan barangan perkilangan berjumlah RM101.99 bilion (16.0 peratus),
Selain itu, ujarnya, bahan kimia pula mencatatkan jumlah RM78.65 bilion (12.3 peratus), pelbagai artikel perkilangan berjumlah RM65.35 bilion (10.2 peratus) dan makanan RM46.37 bilion (7.3 peratus).
Dalam pada itu, tambahnya, rakan dagangan utama Selangor adalah seperti China (23.9 peratus), Amerika Syarikat (12.1 peratus), Jepun (6.5 peratus), Indonesia (4.4 peratus) dan India (4.1 peratus).