Semak semula tambah kerja jururawat tiga jam seminggu

Iklan
KKM dan JPA digesa menyemak semula keputusan yang mewajibkan tambahan tiga jam bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember ini. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa menyemak semula keputusan yang mewajibkan tambahan tiga jam bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember ini.

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dalam satu kenyataan berkata, arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu bukan sahaja tidak adil malah berisiko memburukkan lagi keadaan dihadapi kakitangan kejururawatan yang menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara.

Iklan
Iklan

"Jururawat kita mempunyai banyak kerja, kurang dihargai dan sudah menjangkau had mereka, malah sering mengorbankan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental untuk menjaga pesakit.

"Dasar ini menambahkan lagi tekanan serta keletihan mereka dan bukan meringankan beban mereka.

Iklan

Sebelum ini, dilaporkan keputusan menambah jumlah waktu bekerja itu dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan SSPA.

Tangkap layar kenyataan Hartal Doktor Kontrak menerusi Facebook pada Rabu.

Pekeliling tersebut menyatakan jumlah jam bekerja bagi waktu bekerja bukan pejabat ditambah baik dengan menyamakan dengan jumlah jam waktu bekerja pejabat iaitu 45 jam seminggu berbanding 42 jam termasuk rehat.

Iklan

Mengulas lanjut, HDK berkata, perkara itu dibimbangi akan menurunkan kualiti penjagaan dengan kekurangan jumlah jururawat untuk menguruskan beban pesakit yang meningkat.

"Sistem penjagaan kesihatan yang mengabaikan pekerjanya tidak dapat berkhidmat dengan berkesan kepada rakyatnya.

"Keyakinan orang ramai terhadap sistem penjagaan kesihatan akan goyah jika perkhidmatan penting terjejas akibat kekurangan tenaga kerja," ujarnya.

Dalam pada itu, HDK menganggap bahawa arahan itu merupakan satu langkah ke belakang kerana gagal menangani isu asas yang dihadapi oleh tenaga kerja kejururawatan.

"Ia merangkumi elaun syif yang tidak mencukupi, kekurangan keseimbangan kerja dan kehidupan serta kesan fizikal dan emosi yang besar akibat bekerja syif,” katanya lagi.