Ketua Parti Komunis Vietnam, To Lam mulakan lawatan rasmi ke Malaysia

Iklan
Anwar (kiri) menyambut To Lam yang dalam lawatan tiga hari ke Malaysia. Foto Bernama

SEPANG - Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam tiba di Malaysia pada Khamis untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari, menandakan kunjungan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan tersebut.

Ini merupakan lawatan pertamanya ke Malaysia selepas dilantik sebagai ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos 2024.

Iklan
Iklan

Pesawat khas yang membawa Lam, isterinya, Ngo Phuong Ly dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada jam 11.15 pagi.

Antara yang menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.

Iklan

Lam kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 31 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Khairul Azmi Jamingon.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Lam akan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu upacara rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.

Iklan

To Lam memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada dua pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada sambutan rasmi di Dataran Perdana pada Khamis. Foto Bernama

"Perbincangan mereka akan memberi tumpuan kepada kemajuan hubungan dua hala, terutamanya kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital, serta maklumat dan komunikasi," menurut kenyataan tersebut.

"Mereka juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi Meningkatkan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (Vietrade); serta Memorandum Kerjasama antara Petonas dan PetroVietnam dalam bidang tenaga boleh diperbaharui," menurut kenyataan itu.

Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam ke dalam ASEAN.

Lawatan rasmi ini dijangka terus mengukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, sama ada dari segi dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik mahupun dalam platform ASEAN, menurut kenyataan itu.

Pada tahun 2023, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-4 terbesar dalam ASEAN.

Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM80 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion.

Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$13.1 bilion. - Bernama


Anwar rai To Lam dalam majlis makan tengah hari

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana di sini.

Lam yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 1.35 tengah hari.

Selain delegasi Lam, majlis makan tengah hari itu turut dihadiri isterinya, Ngo Phuong Ly dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar dan Wan Azizah (kanan) bersama To Lam (dua, kiri) dan pasangan, Ngo Phuong Ly (kiri) pada Majlis Makan Tengah Hari yang dihoskan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana pada Khamis. Foto Bernama

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Terdahulu, Lam dan Anwar mengadakan pertemuan bagi memperkukuh hubungan dua hala serta menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi Meningkatkan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (Vietrade); serta Memorandum Kerjasama antara Petronas dan PetroVietnam dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Semasa lawatannya, Lam juga dijadual bertemu Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Parlimen.

Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam ke dalam ASEAN. - Bernama