HULU TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam berpindah ke pusat keluarga pemindahan sementara (PPS), sebuah keluarga pulang semula ke rumah selepas air mula surut pada petang Rabu.
Mangsa banjir, Mohd Hasruddin Mohd, 40, berkata, PPS disifatkan seperti rumah kedua baginya kerana dia perlu sentiasa bersedia berulang-alik untuk berpindah selagi musim banjir belum berakhir.
Menurutnya, situasi itu berlaku hampir saban tahun kerana kawasan berdekatan rumah yang didiami bersama keluarganya akan dinaiki air menyebabkan ia terkepung.
"Hujan lebat berterusan sejak Selasa menyebabkan kawasan berdekatan dengan rumah saya digenangi air bermula jam 5.30 petang dan kami mula berpindah ke PPS ini jam 9 malam hari yang sama.
"Biasanya, kalau hujan turun tidak berhenti dalam dua hari sekeliling rumah akan dinaiki air dan kami akan berpindah sebanyak tiga hingga empat kali sepanjang musim tengkujuh ini," ujarnya.
Mohd Hasruddin merupakan mangsa banjir terakhir yang ditemui di PPS Tok Gebok, di sini selepas kesemua penduduk yang ditempatkan di situ pulang ke rumah kerana air mulai surut pada Rabu.
"Situasi itu sudah menjadi rutin buat kami yang tinggal di kampung ini," katanya.
Setakat jam 12 tengah hari Khamis, sebanyak 2,557 mangsa banjir ditempatkan di enam buah PPS melibatkan dua daerah iaitu di Kemaman (2,544) dan Marang (13).