DUN Terengganu lulus Belanjawan 2025

Iklan
Ahmad Samsuri ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman pada Isnin lepas. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Khamis sebulat suara meluluskan Belanjawan 2025 yang dibentang Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri telah merencanakan pelbagai strategi sebagai usaha meningkatkan hasil janaan negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, strategi yang merangkumi tempoh jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang itu akan turut melibatkan pelbagai entiti kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Untuk tempoh jangka masa pendek dan sederhana, sebahagiannya telah saya jelaskan dalam pembentangan Belanjawan 2025. Untuk tempoh jangka masa panjang pula, kerajaan negeri akan memperoleh hasil daripada pemajuan perindustrian menerusi pembaharuan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif,” katanya.

Iklan

Seterusnya beliau berkata, antara industri yang dijangka membawa pendapatan baharu kepada negeri ialah pembangunan ladang solar baharu; penjanaan dan perdagangan kredit karbon; pembekalan dan perdagangan gas cecair asli; pembangunan loji hidrogen hijau; dan perlombongan unsur nadir bumi serta aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menyatakan inisiatif pendapatan baharu itu memerlukan masa dan proses yang panjang sebelum beroleh hasil.

Iklan

"Hakikat yang perlu kita akui ialah usaha peningkatan hasil seperti ini adalah satu proses yang berkait dengan faktor masa. Ada yang memerlukan penambahbaikan enakmen, ada yang berkait dengan perubahan jadual kadar cukai, ada yang memerlukan proses pembidaan dan ada yang memerlukan proses membawa pelabur,” katanya.

Ahmad Samsuri pada Isnin membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Demi Masa Depan Terengganu’ dengan sejumlah RM1.887 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta. - Bernama