KPM perjelas terima kunjungan delegasi pendidikan Afghanistan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM - Delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ia meliputi aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kunjungan itu memberi pendedahan kepada delegasi untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.

"Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentas status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.

Iklan

"Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata serta menyeluruh di semua peringkat pendidikan,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi penjelasan susulan kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan yang dipimpin Taliban ke kementeriannya baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, lawatan tersebut menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara terbabit.

Mengulas lanjut, menurut KPM, kunjungan berkenaan merupakan suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan yang mana negara bersedia memberikan bantuan.

"Bantuan tersebut dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, KPM menjelaskan bahawa lawatan terbabit juga dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).

"Ia juga mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai,” katanya lagi.