KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mempertikaikan kehadiran rombongan Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pengerusi DAP itu tidak sepatutnya meletakkan imej sangat negatif di mata masyarakat antarabangsa ekoran dasar diplomasi Malaysia boleh menerima atau mengadakan hubungan secara tidak rasmi dengan negara yang belum diiktiraf.
Malah Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, Afghanistan mempunyai duta di negara ini yang dilantik secara sah meskipun Malaysia masih belum membuka pejabat kedutaan di Kabul.
"Mereka (Afghanistan) telah pun ada hubungan dengan Malaysia. Sebagai sebuah negara Islam, sepatutnya kita bantu negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan.
"Kita juga menggesa kerajaan untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Afghanistan yang dipilih secara rasmi oleh rakyat negara itu,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Guan Eng menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini ke kementerian itu.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa, lawatan tersebut menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara terbabit.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, Perikatan Nasional (PN) menyokong dan menyeru Kementerian Pendidikan berkongsi ilmu dan kepakaran dalam membangunkan negara Afghanistan.
Beliau berpandangan, seharusnya ia dilakukan seperti mana Malaysia pernah berkongsi kepakaran dalam membantu negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan sebelum ini.
"Kita juga menyambut baik langkah yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Afganistan dan Malaysia yang menjalin hubungan serta kerjasama dalam bidang pendidikan.
"Sebagai sebuah negara yang sudah ke hadapan dalam bidang berkenaan, Malaysia juga boleh menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar dari Afghanistan untuk menyambung pengajian di negara kita,” ujarnya.