ALOR SETAR - Polis telah mengambil keterangan lapan individu yang terdiri daripada ahli keluarga majikan, dan rakan kepada mangsa hilang Siti Rohani Saad, 37, yang motosikalnya ditemukan di tebing Sungai Titi Haji Idris di sini 8 November lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan sehingga kini dan mengambil kira semua elemen yang mungkin menjadi punca kehilangan wanita terbabit.
Katanya, sebelum ini pencarian turut dilakukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar selama tiga hari sejak dia dilaporkan hilang.
"Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita terbabit ditangguhkan berikutan tiada petunjuk baharu ditemui di lokasi berkenaan.
"Kita hanya menemui motosikal dipercayai milik Siti Rohani dan tiada penemuan mayat atau tanda-tanda dia berada di lokasi,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini pada Khamis.
Menurutnya, pihak polis berharap orang ramai yang menemui Siti Rohani dapat memberi maklumat kepada polis untuk memudahkan siasatan.
"Polis sudah mengedar gambar Siti Rohani untuk hebahan bagi membantu siasatan berkaitan kes Orang Hilang (OH).
"Susulan itu sesiapa yang mengenali Siti Rohani boleh menghubungi pihak polis atau datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.