Lebih 41,000 PATI ditahan setakat 13 November lepas - KDN

Iklan
Saifuddin Nasution.

KUALA LUMPUR - Seramai 41,073 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap menerusi 17,745 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara, setakat 13 November lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh sama, seramai 1,589 majikan turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Iklan
Iklan

"Sehingga 31 Oktober lepas, bilangan pekerja asing berdaftar di JIM adalah seramai 2,438,468 orang yang bekerja di tujuh sektor utama iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah dan perlombongan serta pengkuarian.

"KDN melalui JIM komited untuk memastikan keselamatan negara diutamakan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan serta tindakan pencegahan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan jumlah PATI,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung jumlah terkini pekerja asing dan PATI di Malaysia, serta langkah untuk menangani masalah lambakan warga asing yang masuk secara haram.

Saifuddin Nasution berkata, sepanjang 2023 hingga 13 November lepas, JIM turut melaksanakan 2,762 operasi bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain di seluruh negara dan berjaya menahan seramai 8,812 PATI dan 52 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Iklan

Beliau berkata, antara tindakan yang dilaksanakan untuk mengesan pelawat asing tinggal lebih masa termasuk operasi penguatkuasaan secara berterusan; menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, katanya, tindakan juga diambil terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing yang tidak sah.

"Sepanjang tahun lepas seramai 27,739 pelawat asing yang ditangkap, ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen di seluruh negara manakala sejak 1 Januari hingga 14 November lepas seramai 41,234 pendatang tanpa izin telah ditempatkan di depo tahanan imigresen,” katanya. - Bernama