KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh perlu menyatakan pendiriannya berhubung lawatan rombongan Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban baru-baru ini.
Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr We Ka Siong berkata, ini kerana agak pelik bagaimana seorang Timbalan Menteri Pendidikan tidak tahu mengenai pertemuan Menterinya dengan rombongan rasmi Kerajaan Afganistan.
"Timbul persoalan, apa pendirian Wong Kah Woh, setuju dengan tindakan Fadhlina (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek), setuju dengan Taliban, senyap saja dan tidak bersuara atau mungkin akan dijawab secara bertulis.
"Jawapan mudah, tak payah kot,” selorohnya menerusi Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan menerima rombongan rasmi dari Kerajaan Afganistan dan telah berkongsi pandangan mengenai pendidikan.
Namun Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempertikaikan manfaat lawatan itu kepada Malaysia berikutan negara ini tiada hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban.
Malah Guan Eng pula mendedahkan bahawa Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh tidak tahu menahu mengenai pertemuan Menterinya dengan rombongan rasmi Kerajaan Afganistan.
Mengulas lanjut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan perkara itu memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
Selain itu, kunjungan ini turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
KPM berkata, delegasi Afghanistan juga menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.