PUTRAJAYA - Malaysia amat kecewa dengan kegagalan sekali lagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima pakai resolusi gencatan senjata dan memudahcara penyaluran segera perkhidmatan asas serta bantuan kemanusiaan di Gaza.
Menerusi kenyataan Kementerian Luar Negeri (KLN), Malaysia menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto telah mematahkan harapan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza.
Ia sekali gus menjejaskan usaha-usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis ini.
"Malaysia menggesa agar Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan tegas bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza dan melaksana peranan utamanya untuk mengekalkan keamanan serta keselamatan antarabangsa selain mempertahankan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa," kata kenyataan itu pada Khamis.
AS dilapor menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi Majlis PBB pada Rabu yang menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Semenanjung Gaza.
Draf resolusi yang dikemukakan oleh sembilan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan itu, Algeria, Ecuador, Guyana, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia, dan Switzerland telah menerima undian majoriti sebanyak 14 undi.
Resolusi itu antara lain turut menggesa pencegahan kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin.
AS sebelum ini telah tiga kali menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza pada Oktober 2023, Disember 2023, dan Februari, selain berkecuali dalam beberapa undian resolusi lain.
Dalam pada itu, KLN menegaskan negara ini kekal bersolidariti dengan Palestin dan mengulangi komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan dalam isu berkenaan.