Kerjasama MBDK, media bantu kendali maklumat lebih tepat

Iklan
Pengamal media dari pelbagai agensi di Selangor yang hadir pada Majlis Malam Mesra Media Majlis Bandaraya Diraja Klang.

KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berharap jalinan kerjasama yang baik antara pihak berkuasa tempatan itu dengan pengamal media di negeri ini dapat dikekalkan.

Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Afendi Mohd Arif berkata, hubungan itu perlu diteruskan lebih-lebih lagi dalam era digital dan media sosial yang semakin berkembang pesat.

Iklan
Iklan

"Saya yakin, melalui jalinan kerjasama yang baik akan membantu mengendalikan maklumat yang lebih tepat dan betul untuk disampaikan kepada masyarakat Klang.

"Saya juga percaya pengamal media di negeri ini sentiasa peka dan telus dalam menyiarkan sebarang berita terutama membabitkan MBDK.

Iklan

"Pengamal media di sini juga sudah sekian lama bersama serta sentiasa dekat dengan majlis sekali gus dapat bersama-sama berganding bahu menangani sebarang isu atau masalah yang timbul," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Media Majlis Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah di sini pada Rabu malam.

Iklan

Dalam pada itu, ujarnya, MBDK akan terus menjalin dan menjaga hubungan baik dengan media yang juga berperanan sebagai perantara pihak majlis dan orang awam dalam menyampaikan maklumat dan isu-isu yang berkaitan dengan bidang kuasa MBDK dengan lebih efektif dan tepat.

"Ini kerana media massa menjadi sumber utama kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat.

"Maka saya percaya majlis apresiasi yang dianjurkan ini antara medium yang dapat mengeratkan lagi jalinan kerjasama selain menghargai sumbangan yang dicurahkan selama ini," tambahnya.