Keputusan guna sistem MLFF dijangka dimuktamad 16 Disember ini

Iklan
Timbalan Menteri Kerja Raya, yang juga Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan pada Sesi Penggulungan Peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2025, Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Keputusan mengenai penggunaan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau multi lane fast flow (MLFF) dijangka dimuktamadkan pada 16 Disember ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, cadangan pelaksanaan MLFF itu kini masih dalam pertimbangan teliti Kementerian Kerja Raya (KKR) selain perlu mendapatkan persetujuan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Masalahnya sekarang ialah ‘konsesi atas konsesi’... kerana satu konsesi baharu nak buat MLFF ke atas 33 konsesi lama yang memiliki lebuh raya di 33 kawasan dengan separuh daripadanya antara 2,500 hingga 1,500 kilometer (lebuh raya) dimiliki PLUS.

"PLUS tidak bersetuju dengan ‘konsesi atas konsesi’ ini kerana PLUS mempunyai keupayaan sendiri untuk melaksanakan MLFF. ... dan kita akan sediakan Kertas Kabinet,” katanya ketika mengulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKR juga berkemungkinan tidak akan meneruskan pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau 'glow in the dark' di kawasan jalan raya tanpa lampu.

Beliau berkata, KKR melaksanakan percubaan menggunakan kaedah itu di beberapa kawasan sebelum ini namun hasil percubaan tidak menepati kehendak pakar.

Iklan

"... jadi kita kemungkinan tidak meneruskan garisan glow in the dark selain kosnya mahal... kita akan teruskan penggunaan garisan putih bagi kawasan tiada lampu jalan,” katanya.

Mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo, Ahmad berkata, pembinaan lebuh raya itu tidak melibatkan penyediaan lampu jalan di sepanjang laluan lebuh raya berkenaan sebaliknya lampu jalan hanya dipasang di persimpangan susur masuk dan keluar.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM10,349,480,800 yang diperuntukkan kepada KKR dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 24 Ahli Parlimen. - Bernama