Kadar jangkitan Covid-19 kekal 18, 550 orang jalani ujian

Iklan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua dari kanan) ketika sidang media mengenai situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ujian yang dijalankan terhadap 550 kontak rapat dan mereka yang bergejala di 18 makmal awam di negara ini hanya 18 disahkan positif bagi Covid-19 sehingga ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, seluruh episod jangkitan kluster ditangani dengan baik oleh kementerian dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang dipengerusikan timbalan perdana menteri.

Iklan
Iklan

"Itu respons kami kepada WHO,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung jangkitan Covid-19.

Dalam sidang media harian berhubung Covid 19 di Putrajaya hari ini, beliau berkata, kenyataan WHO bahawa jangkitan Covid-19 akan berleluasa perlu dilihat dalam konteks sewajarnya kerana Malaysia belum lagi sampai ke peringkat itu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: WHO beri amaran kepada Malaysia dan negara serantau

WHO menasihatkan kerajaan Malaysia membuat persediaan bagi kemungkinan penyebaran lebih meluas Covid-19 yang telah menjangkiti lebih puluhan ribu orang dan meragut nyawa lebih 1,000 orang di China.

Iklan

Pengarah WHO bagi rantau Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai dalam kenyataan hari ini berkata, bahawa maklumat terkini menunjukkan virus itu mungkin lebih mudah tersebar daripada data awal yang dicadangkan, tetapi mengambil perhatian bahawa ia bukan bermakna penyakit itu akan tersebar dengan mudah di Malaysia atau tempat lain.

Bermula semalam WHO mengisytiharkan Covid-19 sebagai nama rasmi bagi penyakit virus korona 2019. - Bernama

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, jika Malaysia sampai ke tahap yang disebutkan oleh WHO, kerajaan sentiasa bersedia menangani penularan wabak itu.

"Kalaulah kita buat pengisytiharan (wabak) itu sebagai krisis, nasihat WHO itu kita akan letakkan pada perspektif sebetulnya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menunda aktiviti yang melibatkan orang ramai seperti majlis keramaian atau penutupan sekolah seperti yang disarankan WHO, Dzulkefly berkata, belum ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Kami akan sentiasa menilai dan menyemak situasi. Kami sebagai kerajaan, khususnya sebagai penjaga aspek kesihatan, kami akan bertanggungjawab untuk menyemak apa tindakan perlu dan sesuai yang akan diambil sebagai respons terhadap apa-apa perkembangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap Jawatankuasa Kerja Bersama antara Malaysia dan Singapura seperti yang dibincangkan melalui persidangan video dua hala semalam bersama rakan sejawatnya Gan Kim Yong, akan dapat ditubuhkan dalam tempoh seminggu.

"Di samping kerjasama dalam aspek kesihatan awam, klinikal dan perubatan serta penyelidikan, kami juga akan membincangkan bersabit dengan beberapa langkah rentas kedua-dua negara.

"Kami akan teliti butiran berhubung kemungkinan melakukan, antara lain, seperti pengimbasan di pintu keluar dan lainnya seperti mengendalikan 300,000 orang yang berulang alik melalui tambak antara kedua-dua negara setiap hari bagi menjalankan urusan masing-masing,” katanya. - Bernama