#SavingTheUmmah angkat surah Al-Saff

Iklan
Antara peserta lelaki yang mengikuti program #SavingTheUmmah anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada Khamis.

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat surah al-Saff sebagai pilihan dalam program #SavingTheUmmah bagi mempelajari formula kejayaan umat Islam dan menjamin kesihatan mental pekerja dalam sesebuah organisasi.

Ketua Pegawai Penyelidiknya, Fazrul Ismail berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan menangani tekanan dihadapi kakitangan ketika di tempat kerja menerusi pemilihan surah berkenaan.

Iklan
Iklan
Fazrul Ismail

"Surah ini dipilih kerana ia satu daripada tujuh surah Musabbihat untuk mempelajari formula kejayaan bagi umat Islam.

"Apabila seseorang itu membina pasukan yang baik, ia akan membantu kepada kesihatan mentalnya dan jika disiplin mereka tidak dijaga, ia akan memberikan tekanan.

Iklan

"Ia akan menyebabkan mereka mudah tertekan dan memberi kesan kepada keluarga di rumah,” katanya selepas program #SavingTheUmmah di Surau al-Hidayah Wisma DRB-Hicom, di sini pada Khamis.

Antara peserta perempuan yang mengikuti program #SavingTheUmmah anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada Khamis.

Program anjuran WUIF itu merupakan kerjasama dengan DRB-Hicom yang berjaya mengumpulkan lebih 200 peserta terdiri daripada kakitangan organisasi berkenaan.

Iklan

Mengulas lanjut, Fazrul menjelaskan program tersebut merupakan kesinambungan #QuranCorner sebelum ini yang berjaya mewakafkan al-Quran ke syarikat-syarikat terpilih.

Beliau mengharapkan agar lebih banyak syarikat swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai program berkenaan bagi memberi kesedaran berkaitan al-Quran dengan lebih mendalam.

"Ini kerana syarikat-syarikat lain juga dapat membina pasukan yang mengamalkan nilai-nilai al-Quran sehingga boleh memberi manfaat kepada umat Islam lain,” tambahnya.

Zainuddin

Dalam pada itu, pengerusi surau tersebut, Zainuddin Yaacob berkata, pemilihan surah al-Saff itu juga memberi peluang kepada pekerja supaya lebih konsisten dan berintegriti dalam sesebuah organisasi.

Menurutnya, bahagian berkenaan menekankan kepentingan umat Islam dalam memperjuangkan agama untuk manusia pelajari dan hayati.

"Program ini sebenarnya bagus dari segi kesedaran untuk menjaga kesihatan minda pekerja. Kita tahu ada masa mereka tertekan dengan skop kerja dan masalah peribadi.

"Jadi, dengan adanya program seperti ini, ia mampu memberi kesan positif yang berasaskan ayat suci al-Quran,” ujarnya.

Zainuddin yang juga Pengurus Unit Outreach DRB-Hicom berkata, penglibatan kakitangan daripada anak-anak syarikat turut diambil kira walaupun mereka menyertai program tersebut hanya dalam talian.

"Mereka sertai #SavingTheUmmah ini menerusi Microsoft Team. Jadi, ia melibatkan cawangan-cawangan lain juga. Ikutkan tadi ada lebih 40 akaun dalam siaran langsung ini,” katanya.

Emillia Zafrani

Setiausaha Eksekutif Perancangan Korporat DRB-Hicom, Emillia Zafrani Harun pula berkata, program tersebut mendedahkan pelbagai ilmu yang boleh dipelajari bagi mengekalkan tahap kerja yang sentiasa berada di atas.

Menurutnya, ia menjelaskan tindakan pemimpin untuk sentiasa memberi panduan kepada kakitangan agar sentiasa berada di landasan kerja yang betul.

"Saya juga berharap agar program seperti ini diterapkan di syarikat-syarikat lain untuk menimba ilmu yang begitu berkesan berasaskan ayat suci al-Quran,” ujarnya.