SHAH ALAM - Kadar perkahwinan dalam kalangan lelaki berusia lebih 65 tahun dengan wanita berumur 24 tahun ke bawah pada 2023 merekodkan 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan 188,100 orang.
Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia berdasarkan Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia yang membentangkan statistik bagi 2022 dan 2023.
Menurutnya, data tersebut mengikut ciri demografi di peringkat nasional, negeri dan daerah.
"Jadi disebabkan itu, kadar perkahwinan kasar (CMR) menurun daripada 6.6 peratus untuk tahun 2022 kepada 5.7 peratus pada 2023 bagi setiap 1,000 penduduk. Ia juga merekodkan lelaki berusia 91 tahun adalah paling tua mendirikan rumah tangga pada tahun lepas manakala bagi wanita pula berusia 86 tahun.
"Statistik perkahwinan orang Islam pula menyumbang 74.5 peratus daripada keseluruhan jumlah perkahwinan pada tahun 2023 di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, penurunan jumlah perkahwinan tersebut disumbangkan sebanyak 16.8 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada tahun 2023 iaitu 140,176 berbanding tahun sebelum pada 168,467
Katanya, tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam adalah Selangor sebanyak 5,674 iaitu 17.4 peratus, diikuti Kelantan, 3,595 bersamaan 17.7 peratus dan Johor, 3,249 iaitu 15.8 peratus.
"Sebaliknya, bagi bilangan perkahwinan orang bukan Islam pula merekodkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus daripada 46,555 untuk tahun 2022 kepada 47,924 tahun sebelumnya (2023).
"Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi bagi perkahwinan orang bukan Islam ialah Johor dengan 1,154 atau 20.1 peratus, Sarawak sebanyak 920 (10.6 peratus) dan Kuala Lumpur dengan jumlah 287 atau 8.2 peratus,” ujarnya.
Tambah Mohd Uzir, sebanyak 6.2 peratus daripada jumlah perkahwinan pada tahun 2023 antara pengantin lelaki dan perempuan adalah individu berbeza kumpulan etnik.
Jelasnya, bilangan perkahwinan antara etnik meningkat sehingga 28 peratus daripada 14,028 pada tahun 2022 kepada 17,956
"Komposisi perkahwinan antara etnik bagi orang Islam adalah 48.8 peratus manakala orang bukan Islam 51.6 peratus.
"Usia penengah pengantin lelaki dan pengantin perempuan kekal pada 28 serta 26 tahun, manakala bilangan perkahwinan tertinggi juga direkodkan dalam kumpulan usia 25 hingga 29 tahun untuk kedua-dua pengantin,” katanya.
Bagaimanapun, bagi bilangan perceraian pula menurun sehingga 8.7 peratus daripada 63,338 pada tahun 2022 kepada 57,835 untuk 2023.
Ujar Mohd Uzir, disebabkan itu kadar perceraian kasar (CDR) bertambah baik daripada 1.9 peratus pada 2022 kepada 1.8 peratus untuk 2023 bagi setiap 1,000 penduduk.
"Bilangan perceraian orang Islam mencatatkan penurunan 3.9 peratus pada 2023 iaitu sebanyak 44,322 berbanding 2022 yang mencatatkan pada 46,138
"Bagi tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang Islam pula adalah Kelantan sebanyak 1,250 atau 28.7 peratus, Johor dengan bilangan 790 atau 13 peratus dan Sabah pada 756 atau 19.5 peratus.
"Kemudian, perceraian orang bukan Islam turut menurun sebanyak 21.4 peratus daripada 17,200 (2022) kepada 13,513 pada tahun 2023,” katanya.
Jelasnya, tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam adalah Selangor dengan catatan 832 atau 22.9 peratus, diikuti oleh Johor sebanyak 754 atau 26.4 peratus dan Sarawak dengan 512 atau 22.9 peratus.
"Perceraian tertinggi yang direkodkan adalah individu pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun bagi lelaki dan perempuan,” tambah beliau.