DALAM usaha memartabatkan ilmu Islam, Yayasan Rizalman Ibrahim menyerahkan dana geran penyelidikan berbentuk wakaf ilmu berjumlah RM2.25 juta kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada Rabu.
APIUM dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah tersebut merupakan sumbangan paling besar diterima mereka bagi menyokong penyelidikan dalam bidang hadis khususnya dalam projek terjemahan dan huraian kitab Sunan Sittah yang menjadi rujukan utama ilmu-ilmu Islam selepas al-Quran.
"Dana ini disalurkan kepada projek penyelidikan yang dikendalikan Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, APIUM melibatkan dua projek utama yang amat signifikan,” kata kenyataan tersebut di Facebook APIUM pada Khamis.
Menurutnya, dua projek tersebut melibatkan projek terjemahan, huraian, penerbitan dan wakaf al-Kutub as-Sittah serta projek penaiktarafan Makmal Living Smart al-Quran dan al-Hadith.
"Kedua-dua projek ini diketuai Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith APIUM, Profesor Dr Ishak Suliaman,” katanya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Zamri Radzi, Dekan APIUM, Profesor Dr Mohd Fauzi Hamat dan Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resourses, Jailani Jantan.
Menurut kenyataan itu lagi, Yayasan Rizalman Ibrahim di bawah pimpinan Rizalman membuktikan komitmennya sebagai pemain industri yang aktif dalam memartabatkan pengajian al-Quran dan hadis.
"Dar Al-Qari Resourses yang berada di bawah Yayasan Rizalman Ibrahim telah menggembleng usahanya di Malaysia melalui cawangan-cawangannya di pelbagai institusi pengajian tinggi awam.
"Malah Yayasan Rizalman Ibrahim juga telah meluaskan sayapnya hingga ke peringkat antarabangsa termasuk Liverpool, United Kingdom,” katanya.
"Semoga usaha ini akan mencapai objektifnya dalam menyebar luas risalah Islam yang terabadi dalam sabda Nabi Muhammad SAW ke seluruh alam,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, usahawan dan personaliti ternama tanah air itu melakar satu lagi sejarah manis buat dirinya apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Pengasas Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim itu diberi kepercayaan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan penuntut, tenaga pengajar dan pengurusan di pusat pengajian tinggi terulung negara itu selama tiga tahun.