Tekad simpan wang kemenangan

Iklan
Ahmad Dasuki (dua dari kiri) menyampaikan replika kad hadiah pertama Peraduan Genius IQ PTPTN 2024 kepada Nurshahirah (dua dari kanan) pada Khamis.

SEPANG - Pasangan suami isteri tekad menyimpan wang kemenangan diraih dalam Peraduan Genius IQ Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 2024 demi masa hadapan anaknya yang baru berusia tiga tahun.

Kakitangan kerajaan, Nurshahirah Abdul Malik, 29, berkata, dia dan suami tidak akan menggunakan wang tersebut walau satu sen, malah bakal menambah lagi simpanan pendidikan tersebut.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, kami bersyukur kerana menjadi pemenang tempat pertama. Insya-ALLAH, duit ini akan kami simpan dan guna apabila anak sudah besar untuk dia melanjutkan pengajian.

"Kami merancang untuk sentiasa menambah simpanan sedia ada bagi memudahkan urusan pendidikan anak pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, penyerahan wang tunai Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) berjumlah RM5,000 berserta tiga gram (g) emas 999.9 dan barangan eksklusif PTPTN disampaikan Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Ketika ditanya mengenai perasaan apabila dinobatkan sebagai pemenang, Nurshahirah mengakui tidak menyangka menerima panggilan telefon daripada PTPTN dan Sinar Harian.

Iklan

"Saya memang tak percaya dan tak ingat ada menyertai peraduan ini, namun setelah mengesahkan hal itu bersama suami baru sedar kami ada hantar penyertaan.

"Ini betul-betul rezeki. Saya tidak sangka penyertaan peraduan yang begitu mudah hanya dengan jawab 10 soalan teka silang kata, kami berjaya memenangi wang tunai dan emas 3g,” ujarnya.

Tambah Nurshahirah, dia berharap PTPTN meneruskan peraduan sedemikian pada masa akan datang kerana dapat membantu ibu bapa menambah wang simpanan untuk pembelajaran anak-anak.

"Saya harap ramai ibu bapa mengambil bahagian untuk menyertainya kerana ia percuma,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki memberitahu, PTPTN mengambil pendekatan meneruskan peraduan itu pada masa akan datang kerana sambutan diterima begitu menggalakkan.

Beliau berkata, Peraduan Genius IQ PTPTN 2024 menerima lebih 5,000 penyertaan sepanjang dilaksanakan bermula 15 Ogos hingga 14 September lalu.

"Bagi saya, ia merupakan jumlah yang besar dalam keadaan kita mahu menguar-uarkan tabiat menabung.

"Melalui peraduan ini diharap dapat menambah kesedaran orang ramai berkenaan aplikasi myPTPTN dan Simpan SSPN.

"Simpan SPPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful kepada pendeposit, dividen kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan,” katanya.