IPOH - Saman polis tetap dikeluarkan ke atas kenderaan yang diparkir di kawasan tidak dibenarkan sepanjang laluan Jalan Raja Ashman Shah di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan dikenakan bagi tiga situasi termasuklah kenderaan yang diletakkan di hadapan hentian bas menghala ke lampu isyarat.
Menurutnya, dua lagi keadaan yang tidak dibenarkan adalah meletakkan kenderaan secara berlapis (double park) dan diparkir di bulatan Jalan Raja Ashman Shah.
"Polis sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa atas budi bicara tidak akan mengambil tindakan saman ke atas mana-mana kenderaan yang diparkir di sepanjang jalan itu.
"Bagaimanapun perkara ini terkecuali bagi tiga keadaan yang dinyatakan. Penguatkuasaan tetap dikenakan terhadap pengguna yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga terdapatnya aduan berkaitan kesesakan lalu lintas," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular yang menarik perhatian umum memaparkan anggota trafik mengeluarkan saman ke atas kenderaan yang diparkir di hadapan HRPB.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan mendapati, rakaman video itu diambil sekitar jam 9.45 pagi pada Selasa oleh orang awam.
Katanya, semakan rekod dilakukan menunjukkan, saman-saman yang dikeluarkan terhadap kenderaan orang awam itu adalah kesalahan di bawah Peraturan 12(3) Kaedah- kaedah Lalu Lintas Jalan (LN166/1959 ) iaitu letak kenderaan 30 kaki dari perhentian bas.
"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memberi kerjasama dengan sentiasa mematuhi peraturan bagi menjamin keselamatan dan kelancaran lalu lintas di daerah ini," katanya.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan pada April tahun lalu memaklumkan telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Polis Perak bagi membincangkan mengenai isu parkir di HRPB.
Polis kemudian memberi kelonggaran dengan tidak mengenakan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan HRPB, namun tertakluk kepada beberapa syarat iaitu tidak menghalang lalu lintas dan tidak diletakkan secara berlapis.
Isu ini diangkat dan diberi perhatian berikutan kekurangan parkir di HRPB dan pembinaan Klinik Kesihatan Greentown yang baharu juga menyebabkan kawasan letak kenderaan semakin terhad.