Rating rendah dari Bersih, tidak meneliti secara menyeluruh -Razeef

Iklan
Bersih memberikan gred D iaitu 45.8 peratus menerusi penilaian pertengahan penggal kepada Kerajaan Perpaduan yang sudah mentadbir negara selama dua tahun. Gambar kecil: Razeef Rakimin

KOTA KINABALU - Pemberian gred yang rendah daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara dilihat hanya meneliti satu aspek sahaja tanpa melihat secara keseluruhannya.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Razeef Rakimin turut melihat bahawa Bersih masih ditakuk yang lama dalam meneliti pencapaian kerajaan hari ini.

Iklan
Iklan

"Kita faham laporan Bersih ini hanya berkait reformasi institusi, pilihan raya dan kebebasan sivil. Namun kerajaan hari ini lebih fokus kepada pembangunan ekonomi rakyat dan menjana pendapatan negara setelah kita jauh ketinggalan akibat kegagalan kerajaan terdahulu.

"Kerajaan hari ini tidak mementingkan isu populis seperti diharapkan Bersih sebaliknya banyak mengambil keputusan yang pada awalnya dilihat kurang disenangi namun akhirnya membuahkan hasil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Razeef yang juga Ketua Penerangan PRK Sabah turut berkata, sebagai satu entiti yang memperjuangkan demokrasi, Bersih sepatutnya faham kejatuhan rating kebebasan media adalah kerana mengekang isu yang menyentuh isu agama, kaum dan raja-raja (3R).

"Rusuhan kaum dan darurat yang berlaku akibat permainan sentimen sebelum ini jelas telah mencabul demokrasi. Begitu juga mengekang penularan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta berkait Zionis serta bahan-bahan keganasan lain.

Iklan

"Walaupun kita lihat setiap hari pembangkang bebas memfitnah dan memaki pemimpin kerajaan di media sosial tanpa dikenakan sekatan mahupun tindakan. Kita faham sebagai entiti yang memperjuangkan hak kebebasan, Bersih kurang senang dengan tindakan ini," katanya.

Sehubungan itu, Razeef melihat ia sebagai laporan daripada rasa tidak puas hati Bersih terhadap beberapa isu yang diperjuangkan dan belum dilaksanakan.

"Saya percaya laporan Bersih ini hanya sebagai laporan 'syok sendiri' kerana marah dan tidak berpuas hati beberapa isu yang diperjuangkan mereka masih belum dilaksana.

"Namun di bawah Kerajaan Perpaduan, semua pihak berhak memberikan pandangan masing-masing walaupun pandangan itu hanya untuk kepentingan pihak mereka," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan tersebut menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.