PUTRAJAYA - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Md Abadi Hassan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menghadiri Majlis Anugerah Aspirasi Desa Madani 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor hari ini.
Allahyarham yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kg. Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang sekitar 2.30 petang, menurut kenyataan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Iklan
Iklan
"KKDW merakamkan ucapan terima kasih kepada Allahyarham atas khidmat dan sumbangan bakti sebagai Ahli JPKKP,” menurut kenyataan itu.
KKDW turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ATM atas bantuan membawa pulang jenazah ke Pulau Pinang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kg. Sungai Duri, Nibong Tebal.
"Pihak KKDW berharap agar keluarga Allahyarham tabah dan sabar dalam berdepan dengan kehilangan ini. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu. - Bernama