Harga santan cecah RM16 sekilogram

Iklan
Rata-rata peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga santan sehingga RM2 berikutan berlaku kenaikan harga kelapa di peringkat pembekal.

KUALA TERENGGANU - Harga buah kelapa yang mencecah sehingga RM3 sebiji menjadi punca kenaikan harga santan segar hingga mencecah RM16 sekilogram (kg).

Tinjauan Sinar Harian di sekitar daerah ini mendapati, rata-rata peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga santan sehingga RM2 berikutan berlaku kenaikan harga kelapa di peringkat pembekal.

Iklan
Iklan

Mereka akui, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelangsungan perniagaan yang diusahakan.

Pemilik gerai santan, Suzlan Abdul Wahab, 36, mengakui memang berlaku kenaikan harga santan sejak beberapa minggu lepas.

Iklan
Suzlan akui berlaku kenaikan harga santan sejak beberapa minggu lepas berikutan kenaikan harga kelapa di peringkat pembekal.

Katanya, tiada niat untuk mereka menaikkan harga santan kerana bahan tersebut bergantung pada harga sebiji kelapa yang diambil daripada pembekal.

"Sebelum ini harga santan asli dijual RM12 bagi satu kilogram (kg) memandangkan harga kelapa yang dibeli daripada pembekal hanya RM2 sebiji.

Iklan

"Lebih kurang dua hingga tiga minggu lepas, pembekal naikkan harga kelapa RM2.50 sebiji. Jadi kita terpaksa naikkan harga santan sebanyak RM2 sekali gus menjadikannya RM14 sekilo," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, sekali lagi harga santan terpaksa dinaikkan memandangkan mereka tiada pilihan lain apabila pembekal sekali lagi menaikkan harga kelapa.

"Peniaga terpaksa naikkan harga sebab sudah keluar modal besar. Jika masih kekalkan harga biasa maka tak ada untung diperoleh dan perlu tanggung kerugian," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Sementara itu, penjual santan, Ahmad Jusoh, 50, berkata, bukan sahaja harga semakin naik namun peniaga juga berdepan kesukaran mendapatkan bekalan kelapa di pasaran.

"Sememangnya kita bergantung bekalan kelapa import dari Indonesia. Jadi apabila di peringkat pembekal menaikkan harga kelapa maka kami sebagai peniaga tiada pilihan menaikkan harga santan.

"Kita dapat harga kelapa dari pembekal sudah mahal maka terpaksa juga jual dengan harga yang boleh balik modal," ujarnya.

Bagi penjual santan, Mohd Alif, 43, menyatakan bekalan kelapa yang semakin sukar diperoleh menyebabkan pembekal dan peniaga terpaksa menaikkan harga santan.

"Kami beli daripada pembekal dengan harga yang tinggi, jadi bukan niat sesuka hati naikkan harga santan. Kalau boleh tak nak naikkan harga sebab kita tahu kos barangan ketika ini sudah mahal.

"Jadi saya berharap kerajaan dapat mengawal harga di semua peringkat kerana isu kenaikan harga ini memberi kesan kepada semua pihak bukan sahaja peniaga malah melibatkan pelanggan," jelasnya.