Doktor mula hidup baharu tanpa dialisis, bapa derma buah pinggang

Iklan
Zulkifli (kanan) bersama bapanya sebelum menjalani pembedahan.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Selepas empat tahun berjuang sebagai pesakit buah pinggang dan menerima rawatan dialisis, seorang doktor akhirnya melahirkan rasa syukur apabila dia kini tidak perlu lagi berbuat demikian serta boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Ia seperti permulaan dalam kehidupan baharu apabila pembedahan pemindahan buah pinggang (transplant) yang dijalani dia dan ayahnya pada Selasa lepas berjaya.

Iklan
Iklan

Mohamad Zulkifli Ayub, 27, berkata, buah pinggang sebelah kiri ayah diambil dan dimasukkan kepadanya bagi menggantikan yang telah rosak.

Menurutnya, ayah nekad untuk menjadi penderma selepas melihat dia kepenatan bekerja sebagai doktor dan dalam masa sama perlu berulang-alik melakukan dialisis.

Iklan

"Dia kesian tengok saya dan akhirnya dia bersetuju untuk menderma buah pinggang.

"Bermula dari situ, ayah beransur-ansur berhenti merokok hingga berhenti terus kerana untuk menjadi penderma seseorang tidak boleh merokok walhal dia perokok tegar.

Iklan

"Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat peluang kedua untuk hidup tanpa dialisis. Izinkan saya menangis kegembiraan walaupun dalam kesakitan.

"Selepas empat tahun saya tidak menghasilkan urine, akhirnya saya menghasilkan hampir tiga liter sehari," ujarnya.

Tambah Zulkifli, dia dan ayahnya kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan yang mengambil masa kira-kira lapan jam.

Jelasnya, mereka dimasukkan dalam dewan bedah bermula jam 7 pagi hingga 3 petang dan sedarkan diri pada jam 6 petang.

"Ayah dan saya dimasukkan unit rawatan rapi (ICU) dan kini kami sudah boleh berjalan," ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menasihati orang ramai agar mendaftar sebagai penderma organ.

"Jika ada anak, suami, isteri, adik-beradik yang sakit seperti saya dermalah untuk mereka agar mendapat kehidupan yang lebih baik," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan kisah Mohamad Zulkifli bertajuk 'Pesakit buah pinggang tahap lima capai cita-cita bergelar doktor' yang disiarkan pada 29 April 2024.