Buktikan sekolah kebangsaan juga ada kualiti

Iklan
Foto hiasan

SEJAK kebelakangan ini kualiti pendidikan negara khususnya sekolah kebangsaan menjadi antara topik yang kerap dibincangkan.

Ia berdasarkan kepada trend ibu bapa lebih memilih menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah antarabangsa yang menunjukkan seperti ada sesuatu tidak kena kepada sekolah kebangsaan.

Iklan
Iklan

Menurut pakar pendidikan, jika dahulu anak-anak dihantar ke sekolah kebangsaan berhampiran rumah tetapi kini kecenderungan ibu bapa bukan lagi kepada lokasi, sebaliknya faktor lain.

Beberapa perkara digariskan, antaranya keadaan sekolah daif terutama sekolah kebangsaan di luar bandar atau bilangan pelajar terlalu ramai berbanding jumlah guru mengajar.

Iklan

Selain itu, sistem pembelajaran, tenaga pengajar berkualiti dan disiplin pelajar yang didakwa lebih baik di SJKC dan sekolah antarabangsa berbanding sekolah kebangsaan turut dibangkitkan.

Apa yang ditekankan oleh pakar tersebut merupakan realiti semasa yang diperkatakan orang ramai ketika ini.

Iklan

Justeru, perlu ada satu penyelesaian konkrit daripada kerajaan terutama Kementerian Pendidikan bagi setiap isu dibangkitkan kerana perkembangan tersebut boleh memberi kesan besar kepada sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam masa sama, terdapat juga pandangan mempertahankan bahawa sekolah kebangsaan bukan tidak berkualiti tetapi kejayaan dicapai sama ada dalam akademik dan kurikulum tidak diketahui umum menyebabkan wujud stigma dalam sebilangan ibu bapa bahawa sekolah berkenaan kurang menyerlah.

Antara cadangan yang boleh diambil sama ada di peringkat sekolah sehingga kepada Kementerian Pendidikan adalah menguar-uarkan melalui pelbagai platform seperti media konvensional dan baharu.

Umum mengetahui kini maklumat di hujung jari dan media sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Kisah kejayaan pelajar sekolah kebangsaan di peringkat antarabangsa perlu menjadi peluang bagi pihak kementerian membuktikan kualiti di milikan sekolah berkenaan.

Begitu juga dengan pandangan bahawa kemudahan pembelajaran, perlu ada penjelasan jelas bahawa tidak semua seperti yang digambarkan.

Ia boleh meningkatkan kembali keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan dan mengapa ia perlu menjadi pilihan utama.